Highway di Australia agak bagus. Kereta pun banyak, tetapi trafik dalam banyak keadaan semasa kami di sana berjalan lancar. Di sini, ada beberapa highway yang mengenakan tol. Sistem tol mereka memang efisyen, kerana tiada kaunter langsung. Pandu laju sahaja. Ada device yang diletakkan di kereta masing-masing, dan telah didaftarkan dengan kad kredit. Syarikat tol akan menolak duit tol itu daripada kad kredit kita. Mudah kan? Langsung tiada traffic jam. Sistem ini di Australia dikenali sebagai e-Way (e-way toll tag). Anda tidak perlu berdaftar apa-apa semasa menyewa kereta, ianya memang ada dipasang di kereta sewa masing-masing.
Di Australia, lorong pemanduan di belah kiri, sama seperti Malaysia. Justeru, tidaklah keliru sangat. Pemanduan di sini perlu mengikut undang-undang. Patuhilah segala halaju yang dikenakan. Bad habit seperti brek tanpa melihat cermin belakang, memotong belah kiri, kekal di laluan kanan walaupun tidak memotong, tidak mengikut lorong yang betul semasa menghampiri bulatan, perlu dibuang. Alhamdulillah, latihan dan kursus memandu di UK amat membantu saya.
Pemandangan lebuh raya di Sydney. Simpang ini membawa kita ke tunnel. Lihat langit tanpa awan di Sydney, mengujakan. |
Destinasi rehat kami yang pertama ialah di Yetholme, di sempadan Blue Mountain. Masing-masing agak kelaparan. Kami hanya hemat diri dan membeli makanan di stesen minyak sahaja. Kebanyakan hanya membeli roti dan susu. Saya agak kenyang, kerana sudah makan 2 kali di dalam kapal terbang.
Susu lebih murah daripada air mineral. Nabi pernah mendoakan keberkatan pada susu, lalu sifatnya mengenyangkan. Tetapi bukan semua perut orang Melayu toleran pada laktos. Yang tidak toleran akan mudah sakit perut. Maka, banyak kali jugalah kami berhenti sepanjang perjalanan kerana untuk hemat diri.
Apabila sampai di RnR tersebut, saat pertama selepas keluar dari kereta, kami terus rasa teruja dengan kegelapan malam, dan langit yang dipenuhi dengan jutaan bintang. Saya terus ambil kamera EM5 saya, letakkan di atas meja, dan ambil gambar bintang malam yang pertama untuk trip ini. Hasilnya, tanpa edit, ialah:
Perjalanan perlu diteruskan. Kami sebenarnya amat terlewat daripada plan asal. Sepatutnya, perjalanan yang membabitkan destinasi sejauh 500 km ini hanya mengambil masa 6 jam sahaja, tanpa henti. Tetapi oleh kerana kami banyak berhenti, kerana kepenatan, sakit perut dan seumpamanya, kami hanya sampai ke Motel kami sekitar jam 10 malam. Ini bermakna, kami memandu selama 10 jam, sejurus selepas mendarat di Sydney.
Inilah papan tanda motel kami. Nama bandar ialah Coonabarabran. Motel ini pula terletak sekitar 15km selepas bandar Coonabarabran, menuju ke Hutan Simpan Warrunbungle. Jalang memang gelap sungguh. |
Apabila sampai, perkara yang agak merisaukan ialah sekiranya staf motel ini sudah tidur. Motel ini letaknya berhampiran hutam simpan, justeru jangan anggap perkhidmatannya sama seperti hotel. Staf hanya ada seorang sahaja, iaitu anak kepada owner motel ini. Sally namanya. Ada 2 ekor anjing yang jinak, beliau akan bawa keluar berjalan pada awal pagi sahaja. Waktu lain, tidak kelihatan anjing-anjing tersebut. Selain itu, tiada room service yang ditawarkan, kecuali untuk menambah kopi dan teh.
Alhamdulillah, Sally meninggalkan kunci bilik kami. Rasanya, kami merupakan tetamu ketiga pada malam tersebut. Setelah sampai, destinasi pertama saya ialah terus ke tandas. Lama benar menahan...
Setelah masing-masing memilih katil, semuanya rasa teruja untuk turun ke belakang motel, di kawasan lapang tempat membuat cerapan. Afiq dan Syazwan antara yang awal turun. Malam pertama ni agak sejuk. Apabila kita membuat rakaman gambar, lens akan cepat basah akibat air embun dan kondensasi. Justeru, kita digalakkan untuk membawa handwarmer, diikat di sekeliling lens hood. Berdasarkan pengalaman saya, elok dipindahkan dulu haba badan kita di handwarmer tersebut, kemudian baru digunakan bagi mengelakkan lens basah.
Hand warmer yang saya beli di Daiso. Diikat di sekeliling lens hood. Cara terbaik untuk ikat ialah menggunakan rubber band, atau beli velcro di kedai Mr DIY (lebih murah berbanding Daiso). |
Alhamdulillah, hasil tangkapan malam pertama ini amat mengujakan. Maha Suci Engkau Ya Allah, terima kasih kerana memberikan peluang kepada kami menikmati langit malam-Mu yang bersih.
Subhanallah, antara gambar pertama saya. Langit malam pertama memang cukup cantik. Tiada awan. Yang cerah itu ialah bilik penginapan saya. |
Antara gambar awal saya. D7000 Nikon dengan Tokina 11-16mm f/2.8. |
Saya orang ketiga turun ke lapangan. Kami bertiga tak pernah sampai ke sini. Kawasan sekitar memang amat gelap. Shahrin ada beritahu bahawa di hujung sana, terdapat hutan. Tetapi kami tak nampak. Semasa kami bertiga sedang sibuk melayan keindahan langit, tiba-tiba terdengar bunyi derapan lompatan tapak kaki yang kuat. Agak menggerunkan juga semasa pertama kali mendengar bunyi tersebut. Rupa-rupanya, bunyi kangaroo.
Oleh kerana agak kepenatan dan terlalu sejuk, kami hanya mencerap sehingga jam 12 tengah malam. Satu keputusan yang akhirnya, di hujung trip nanti, kami sedikit ralat. Kenapa ralat? Nantikan dalam part berikutnya.
Oleh kerana agak kepenatan dan terlalu sejuk, kami hanya mencerap sehingga jam 12 tengah malam. Satu keputusan yang akhirnya, di hujung trip nanti, kami sedikit ralat. Kenapa ralat? Nantikan dalam part berikutnya.
No comments:
Post a Comment