Sunday 22 November 2015

Karipap Panas Peramu: Terbaik di Kuantan

Sebiji karipap berharga 50 sen? Itulah harga biasa kuih-muih di Kuala Lumpur sekarang.

Di Kuantan, masih banyak lagi gerai-gerai yang menjual kuih-muih dengan harga RM1 bagi 3 biji.

Tetapi ada juga yang sudah lama menjual dengan harga 50 sen sebiji, kerana saiz dan intinya yang besar.

Mengikut selera saya, karipap terbaik di Kuantan ialah Karipap Panas Peramu.

FB: klik
Telefon: 013 944 9667
Lokasi: 3.791806, 103.329895

Lokasinya terletak di Jalan Tanjung Lumpur. Sekiranya anda memandu daripada arah Kuantan, selepas melewati Masjid Lama bangunan kayu, u-turn. Gerainya di tepi jalan.

Saiz karipap ini besar. Intinya memang terbaik. Pastikan anda mengambil karipap yang baru digoreng. Ada 3 perasa, iaitu ayam, daging dan temosa. Memang terbaiklah karipap ni...

Gerai ini betul-betul di tepi jalan Tanjung Lumpur. Ada papan tanda yang jelas seperti di atas. Elakkan menjadi selfish dengan parking di tepi jalan utama, kerana tindakan ini menyusahkan orang lain.  
Selain karipap, nasi lemak panas di gerai ini juga amat sedap. Secara peribadi, inilah nasi lemak terbaik di Kuantan. Mengalahkan nasi lemak zaman. 

Meja makan untuk pengunjung dining in adalah sedikit sahaja. 

Inilah enjin utama gerai ini. Minimalis. Karipap dibuat sendiri secara tradisional. Kelihatan beberapa keratan akhbar yang membuat liputan mengenai gerai ini. 

Selain karipap, terdapat banyak kuih gorengan panas yang lain. 


Selain nasi lemak dan karipap yang menjadi tarikan utama di sini, gerai ini turut menjual kuih dan manisan tradisi yang lain. Kuih kacangnya juga amat sedap, tidak sama dengan yang dibeli di tempat lain.

Saya berikan 4.5 bintang untuk gerai ini.

Balai Cerap Baitul Hilal & Klana Beach Resort

Andai dirujuk sejarah tamadun-tamadun yang silam, kita akan dapati bahawa antara bidang yang menjadi keutamaan mereka ialah bidang astronomi.

Khasnya di dalam Tamadun Islam, bidang ini dijadikan tumpuan sarjana kerana berkait rapat dengan persoalan hitung tempat (memberikan faedah kepada arah qiblat) dan hitung masa (memberikan faedah kepada waktu solat, awal Ramadan dan lain-lain).

Di dalam al-Quran, banyak ayat yang mengajak manusia supaya memerhati dan mencerap objek samawi, sebagai salah satu daripada tanda kebesaran Allah (Ayatullah).

Di Malaysia, terdapat banyak balai cerap yang didirikan atas semangat di atas. Antara yang popular, ialah di Teluk Kemang. Diberikan nama Balai Cerap Baitul Hilal (House of Crescent), tapak kawasan ini telah digunakan untuk mencerap anak bulan sejak bertahun lamanya. Atas sokongan daripada kerajaan negeri menerusi MAINS (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan) serta pusat menerusi JAWHAR (Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji), akhirnya terbinalah sebuah kompleks yang berkonsepkan edu-astro-tourism, menggabungkan hotel Klana Beach Resort dan juga Baitul Hilal di Teluk Kemang, berhampiran dengan Port Dickson.

Koordinat: 2.447315, 101.856040
Website: klik
Main Entrance. Terdapat papan tanda yang jelas di luar Jalan Teluk Kemang-Port Dickson. Resort ini terletak di belakang beberapa hotel yang lain. Betul-betul di tepi tebing pantai. 

Di hadapannya, tersergam indah Balai Cerap Baitul Hilal. 

Pemandangan pantai sekitar. 

Pantai berdekatan.

Baitul Hilal, pada suatu hari yang cantik langit siangnya, setelah hujan pada malam sebelumnya. 
Lobi hotel. Tidaklah terlalu besar, tetapi cukup selesa. 

Masuk hotel, akan terus melihat dua teleskop, bagi memberikan deskripsi falsafah hotel berkongsepkan edu-astro-tourism ini. 

Selain itu, hotel ini juga dipenuhi dengan gambar-gambar bertemakan astronomi. 

Gambar-gambar astronomi daripada astronomer amatur, profesional dari seluruh negara menghiasi hotel. 

Pemandangan dari bilik yang menghadap pantai. Amat penting untuk menempah bilik dengan pemandangan pantai sebegini, bagi membolehkan anda menikmati keindahan pantai.

Ruang resepsi yang kecil, tetapi selesa. 
Bilik dengan dua super single. Tingkapnya kecil sahaja, tetapi pemandangannya, subhanallah. Kelengkapan dalam bilik adalah standard, seperti TV, peti sejuk kecil, air mineral, coffee set, almari, penggantung pakaian, peti keselamatan dan lain-lain. 
Encik Muzammir, staf balai cerap yang sempoi. Beliau tidak jemu melayan tetamu pagi petang siang malam. Waktu lawatan ke balai cerap ini ialah sehingga 12:30 tengah malam.
Teleskop 24 inci, setakat ini yang terbesar di Malaysia. Kos keseluruhan untuk teleskop ini sahaja menelan belanja RM1.7 juta.  
Walaupun mahal, balai cerap ini mengamalkan dasar yang terlalu terbuka kepada orang ramai khasnya peminat dan penyelidik astronomi. Pengunjung hanya dikenakan bayaran yang terlalu minimum, tidak sampai RM10. Tetamu hotel diberikan akses masuk percuma. Kubah itu dibuka mengikut kedudukan teleskop mengarah, dan berkemampuan untuk mencerap objek pada sudut serendah 0'. 

Yang mencabarnya untuk naik ke balai cerap tadi, ialah perlu naik tangga ke tingkat 6. Tiada lif disediakan, bagi mengelakkan gegaran yang menjejaskan kualiti imej yang diambil di teleskop. Walaupun termengah-mengah naik ke tingkat 6, pengunjung boleh membaca info-info menarik astronomi di lantai tangga. Perhatikan juga tiang di luar tingkap tangga ini, kerana tiang itu 'stand alone' bagi menampung mounting telescope yang berat itu.

Boleh juga 'mencerap' orang mandi di swimming pool. Ada 3 pool, untuk kanak-kanak, dewasa wanita dan dewasa lelaki. Semua berasingan tetapi berhampiran. Untuk dewasa lelaki, dalamnya sekitar 4 kaki, panjangnya 10 meter sahaja. 

Gambar ini diambil daripada tingkat 3 balai cerap, yang menempatkan teleskop matahari. Kelihatan bangunan hotel, serta pantai yang cantik di hujung sana. Banyak aktiviti pantai yang ditawarkan, selain daripada berenang. Tetamu hotel hanya perlu menuruni tebing bertangga di depan hotel untuk sampai ke kawasan pantai berpasir halus ini. 
Teleskop matahari. Ada 3 semuanya. Memang terbaik untuk merakamkan imej matahari. 

Inilah kubah yang memuatkan teleskop solar. Dibeli dari Poland. 

Seorang pelajar asronomi Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sedang mencerap matahari. 
Selepas letih mencerap, bolehlah makan di kafe hotel. Dekorasinya menarik, walaupun ruangnya agak kecil. 


Tips:

1. Perlu membuat tempahan awal, kerana hotel ini sentiasa penuh khasnya pada hujung minggu, dan juga pada hari atau malam berlakunya fenomena astronomi.

2. Tetamu hotel mempunyai akses lawatan ke balai cerap. Sementara pengunjung luar pula dikenakan bayaran yang terlalu murah.

3. Staf kerajaan diberikan diskaun 10%.

4. Staf di sini memang sempoi dan komited, kerana minat mereka yang mendalam terhadap astronomi. Justeru jangan segan silu untuk melawat balai cerap ini, walaupun pada tengah malam.

5. Semasa menempah bilik, mintalah untuk menghadap ke arah pantai.

6. Tarikan utama - teleskop terbesar di Malaysia (24 inci), teleskop matahari (ada 3 semuanya dengan kemampuan yang berbeza), serta dek cerapan.

Friday 13 November 2015

Cherating Mangrove River Cruise

Cherating terkenal sebagai salah satu tarikan pelancongan di utara Pahang. Dengan jarak pemanduan sekitar setengah jam dari Kuantan, atau 15 minit dari Kemaman, kawasan kampung di tepi pantai ini memang menawarkan pengalaman yang menarik bagi pengunjungnya.

Antara yang saya amat cadangkan kepada anda semua ialah aktiviti menyusuri paya bakau Cherating, yang dikendalikan oleh Hafiz's Cherating Activities.

Koordinat: 4.126300, 103.391561
Website: klik
Facebook: klik
Telefon: 017 978 9256 (sila telefon sebelum bertolak bagi pengesahan/tempahan tempat)
Jadual trip: setiap hari jam 9 pagi dan 4 petang.
Durasi trip: satu jam setengah.

Sepanjang trip, anda akan melalui sungai paya bakau di Cherating, dalam bot laju. InshaAllah selamat, semua wajib memakai jaket keselamatan.

Pemandu bot akan memberikan penerangan. Saya mencadangkan anda duduk di bahagian belakang, untuk mendengar taklimat (tanpa pembesar suara) pemandu. Bot juga kurang beralun sekiranya duduk di bahagian belakang.

Sediakan kamera. Ambillah gambar sepuasnya, terutamanya apabila mendapat cahaya matahari dan tidak mendung.

Pastikan anda, dengan dibantu oleh pemandu, dapat melihat ular, spider crab, biawak, unggas, serta pelbagai flora dan fauna sepanjang perjalanan. Nikmatilah refleksi di air sungai yang tenang.

Jom layan video:


Tips:

1. Telefon sebelum bertolak bagi pengesahan trip.

2. Bawa makanan kudapan dan air kosong.

3. Duduk di bahagian belakang bot untuk keselesaan.

4. Utamakan keselamatan.

5. Pendapat peribadi saya, aktiviti ini sesuai untuk kanak-kanak 4 tahun ke atas.

6. Selepas selesai aktiviti ini, bolehlah berjalanan di kawasan pelancongan lain di sekitar Cherating atau Kemaman.

7. Sedikit hassle sekiranya air pasang, mungkin kena turun bot untuk melintas jambatan kerana bot tidak lepas.

Video Jalan Alternatif Kuantan - KL Melalui Karak - Pelangai - Jelebu - Kuala Klawang - Seremban - LEKAS

Memandangkan Lebuhraya Karak ditutup kerana tanah runtuh dan banjir selut baru-baru ini, saya tiada pilihan lain ke Kuala Lumpur melainkan terpaksa melalui laluan alternatif Karak - Pelangai - Jelebu - Kuala Klawang - LEKAS.

Jarak normal Kuantan - KL mengikut hiway - 237 km (2 jam lebih)
Jarak LPT - Karak - Pelangai Jelebu - Kuala Klawang - LEKAS - Lebih 400 km (5 jam, drive tanpa henti).

Dalam perjalanan, saya terserempak dengan Optimus Prime, dirakam dalam video ini:



Tips:

1. Banyak bersabar. Banyak lori dan kenderaan lain.

2. Buang air dan isi minyak dulu di mana-mana RNR.

3. Siap sedia dengan bekalan makanan dan minuman.

4. Banyak nama-nama kampung yang unik di sepanjang perjalanan, seperti Chemomoi, Durian Tipus dan Geliu.

5. Banyak juga tempat nak transit, berehat di surau dan gerai, serta tarikan pelancongan.

Wednesday 11 November 2015

Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah

Sudah bosan dengan zoo-zoo di Malaysia yang tidak pernah dinaik taraf?

Rasa tidak 'real' melihat haiwan yang dikurung dalam kandang?

Jom kita jalan-jalan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang.

Website rasmi: klik
Koordinat: 3.592121, 102.144954

Ya, di manakah tempat yang lebih baik untuk berkenalan dengan gajah, kalau tidak di Negeri Tok Gajah?

Tujuan asal pusat ini ialah untuk menyelamatkan gajah-gajah liar di hutan-hutan seluruh negara akibat pembangunan di kawasan habitat asal mereka. Sejak ditubuhkan 30 tahun lalu, lebih 700 gajah berjaya diselamatkan di pusat ini.

Di sini, terdapat gajah denak (jinak, jadi driver, dan boleh menjinakkan gajah liar) serta gajah liar.

Yang bestnya, pengunjung dibenarkan untuk terlibat dalam aktiviti memberi makan gajah, menyaksikan persembahan berpendidikan gajah (bukan sarkis ye), melihat petugas memandikan gajah, atau yang lebih mencabar, mandi bersama gajah!

Tiada bayaran dikenakan, melainkan sekiranya anda ingin mendapatkan khidmat tourist guide peribadi dan diberikan akses untuk mandi bersama gajah. Walaupun percuma, berikanlah sedikit sumbangan untuk tujuan konservasi gajah di negara kita.

Selepas mengisi borang untuk melawat (pakej percuma), pengunjung akan diberikan sticker untuk diletak di baju. Model dan RayBan tidak disediakan ye..

Bilik tayangan video. Tontonlah sekejap, supaya kita menghargai usaha petugas-petugas ini menjalan kerja fardu kifayah bagi pihak kita. 

Tulang gajah. Umur anggaran: 35 tahun

Tempat parking. Kena menapak sikit. Tak jauh mana pun... 

Papan yang disediakan, sehingga habit pengunjung menampal sticker mereka di sini selepas selesai melawat. Elok juga idea ini kan? 

Pintu masuk..

Menapak lagi...

Taman Herba. Rasanya ramai tak perasan, pasal orang datang sini nak tengok gajah 

Inilah dataran yang mana pengunjung boleh berinteraksi dengan gajah

Makanan gajah perlu dibeli, dengan harga yang murah dan berpatutan. Akan tetapi selepas persembahan konservasi gajah, taman ini akan menyediakan buah-buahan kepada pengunjung, bukan untuk dimakan oleh manusia, tetapi untuk dijamu kepada gajah.

Ramai pelancong dalam dan luar negara. Pelancong luar negara kalau tak salah saya, perlu membayar, dan disediakan pakej tourist guide persendirian. 

Free show petugas memandikan gajah. Saya mencadangkan pengunjung untuk cepat-cepat reserve tempat di pelantar di tepi sungai ini. Kalau nak mandi bersama dengan gajah, kena tunggu lepas persembahan, dan dikenakan bayaran

Lepas mandi, pakat naik belaka. Dibawa oleh mahout. 

Selepas mandi, ada persembahan berpendidikan. Bukannya nak bagi gajah stress. Dan bukannya macam sarkis. Pakcik ni dah lama kerja di sini. Pandai memberikan penerangan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Nampak sangat jiwanya di sini. 

Gajah yang setia dengan penjaganya (mahout). Semua gajah ni ada nama masing-masing.  

Comel pulak gajah ni senyum. 

Lepas show, kita diberikan peluang untuk bergambar dengan gajah-gajah yang buat show tadi, dan disediakan buah-buahan untuk diberikan kepada gajah. Jangan rembat makan sendiri pulak ye..



Comel la pulak gajah yang bijak memahami arahan ni... 

Aktiviti di PKGK (daripada website):

Masa
Aktiviti
10.30 pagi - 12.00 tengahari  
MEMERHATI KUMPULAN ANAK GAJAH DI KAWASAN TRAIL INTERPRETASI:
Pelawat berpeluang memerhati kehidupan anak gajah yang dilepaskan secara bebas dalam kawasan keliaran yang dipagari dengan pagar elektrik.
1.00 & 1.30 petang
MENONTON TAYANGAN VIDEO
Menonton dokumentari proses menyelamatkan gajah liar dari kawasan konflik ke habitat baru oleh Jabatan Perhilitan.
2.15 petang
GAJAH MANDI DAN DIBERSIHKAN OLEH MAHOUT
Pelawat boleh melihat gajah dewasa dan anak gajah dimandi dan dibersihkan oleh mahout serta sambil diberikan penerangan oleh kakitangan bertugas.
2.45 -3.15 petang
PENERANGAN KONSERVASI GAJAH DI PENTAS INTERPRETASI 
Pelawat akan diperkenalkan kepada setiap gajah yang menjalankan aktiviti konservasi, sejarah dan kebolehan asas mereka. Penonton dan gajah dipisahkan oleh penghadang dengan jarak kira-kira 8 meter bagi menjaga keselamatan.
Aktiviti ini juga diadakan bagi membiasakan gajah dengan orang ramai untuk menjadikan mereka sebagai gajah yang dapat membantu program pemindahan gajah liar pada masa hadapan.
Nota: Pusat ini tidak menyediakan program tunggangan gajah untuk hiburan.

Tips:

1. Pastikan anda mengisi perut sebelum menyertai aktiviti di atas. Gerai makanan ada dijual di luar Pusat. 

2. Alang-alang sampai ke Kuala Gandah, lawatlah dahulu Deerland Park, sekitar jam 11:00 tengah hari. Kemudian, barulah bergerak ke sini. 

3. Fasiliti asas disediakan di sini, seperti surau, tandas awam, gerai jualan cenderahati, dan kafe. Bersih dan terjaga dengan baik. 

4. Tempat ini menjadi tumpuan pelancong asing. 

5. Ramai pelancong asik suka mandi dengan gajah. Saya sendiri tak beberapa berkenan, kerana semasa melihat mahout memandikan gajah-gajah ni, banyak kali jugak mereka melepas.. hehe. 


Deerland Park: Taman Rusa Yang Menarik di Lanchang, Pahang

Antara tarikan pelancongan di Tenggara Pahang ialah Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah, Lanchang. Dengan hanya memandu satu jam setengah daripada Kuala Lumpur, pusat tersebut adalah zoo terbuka bagi pengunjung yang benar-benar ingin mengenal rapat dengan mamalia darat yang besar itu.

Pun demikian, 3 km sebelum sampai ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, pelancong mempunyai pilihan untuk melawat Deearland Park. Taman ini merupakan milik persendirian bumiputera. Daripada namanya, kita mungkin menjangkakan yang hanya rusa sahaja yang terdapat di sini. Tetapi hakikatnya, banyak lagi haiwan-haiwan menarik yang dijaga dengan baik untuk tatapan pengunjung.

Koordinat: 3.537640, 102.156831

Saya mencadangkan untuk sampai ke sini pada jam 11:00 pagi. Ini bagi membolehkan kita mempunyai masa yang mencukupi untuk melawat taman tersebut, dan seterusnya boleh melibatkan diri dalam aktiviti di Pusat Gajah Kuala Gandah yang hanya akan bermula pada jam 1:00 tengahari (video) dan 2:00 petang - memandikan gajah dan persembahan pendidikan konservasi gajah.

Terdapat bayaran yang berpatutan dikenakan untuk masuk ke dalam taman ini. Dengan bayaran tersebut, kita akan diberikan sebekas makanan untuk menjamu rusa-rusa jinak di taman ini.

Taman ini tidaklah terlalu luas. Sekitar satu jam, mungkin sudah selesai melawat keseluruhan kawasan taman. Dengan aturan taman yang tersusun, serta jalan yang agak rata dan tidak terlalu berbukit, pengunjung yang membawa stroller baby pun tidak akan menghadapi masalah.

Rusa-rusa jinak menanti untuk dijamu oleh anda...
Mula-mula takut, lepas tu berani la nanti anak-anak kita..
Si meow pun ada, dalam kurungan. Nampak macam happy je duduk dalam tu, berdua. 
Raccoon pun ada. 

Mencari rezeki..
Merak putih... albino ke?
Megah merak...
Bila nampak ayam putih jantan sado ni, tertanya-tanya la pulak ayam putih yang disembelih secara komersial tu, betina ke jantan?
Petting animal - landak mini
Ular sawa batik yang jinak, bersama penjaganya yang setia. Sekiranya adik ni ada bekerja, inshaAllah kita boleh request untuk bawa ular sawa batik ini keluar daripada kurungannya untuk didukung, dibelai dan dimanjai... hehe. Ada berani? 
Albinokah ular ini? Oleh kerana sejak kecil telah biasa hidup dengan manusia, maka rasa takut dengan manusia pun tiada. Buat selamba aje apabila dipegang dan didokong. Mungkin ada masa, ular ni emo jugak kot, maybe masa salin kulit, atau bertelur. 
Itik pun ada.. begitu juga dengan beberapa spesis unggas yang lain
Unggas cantik...
Pelancong dari China, request untuk ambil gambar family kami...

Secara umum, saya dan keluarga amat berpuas hati dengan zoo mini ini. Bersih, redup dan sejuk. Kita juga dididik untuk mengenali haiwan dengan lebih dekat. Jauh berbeza dengan semata-mata melawat ke zoo yang mengurung haiwan sahaja. Dengan saiz taman yang sederhana sahaja, Deerland Park wajib dikunjungi sebagai tempat transit sebelum ke Pusat Konservasi Gajah.

Di sini, turut disediakan fasiliti asas untuk pengunjung, seperti tandas, tempat mencuci tangan, kedai cenderahati, jualan makanan ringan dan sebagainya.

Tips:

1. Lawatlah Deearland Park dahulu sebelum ke Pusat Koservasi Gajah Kuala Gandah.

2. Waktu terbaik untuk sampai ke sini ialah sekitar jam 11:00 pagi.

3. Walaupun Pusat Konservasi Gajah dibuka pagi, tetapi persembahan dan aktiviti hanya bermula jam 1:00 tengahari.

4. Ada warung makanan untuk mengalas perut, sama ada dalam perjalanan di kawasan kampung atau pun berhampiran dengan simpang untuk masuk ke taman ini.

5. Waktu lawatan: sekitar sejam setengah, atau lebih sekiranya anda ingin menghabiskan masa petting haiwan dan ular sawa jinak.

Jom, layan video: