Saturday 19 March 2016

Menjejak Gerhana di Palembang :: Pulang ke Tanah Air (Bahagian 9 - Terakhir)

Hari Keempat - Terakhir
10 Mac 2016

Sambungan daripada Bahagian 8

Saya bangkit awal pagi. Membuat backup data semua data-data kajian dan juga rakaman gambar gerhana matahari. Selepas itu, mengemas beg sekali lagi. 

Berat hati ini untuk meninggalkan Palembang, kerana ada beberapa hasrat dan impian saya tidak kesampaian. Antaranya beri'tikaf di sebanyak mungkin masjid dan menziarahi tok guru pesantren yang ada. Bumi Palembang pernah ditarbiah oleh Sheikh Abdul Samad Al-Palimbani, pengarang kitab Siyar al-Salikin dan Hidayah al-Salikin. Saya juga tidak sempat menyaksikan keindahan Jambatan Ampera pada waktu malam. Juga hasrat saya, melihat tapak maqam yang didakwa sebagai kubur Hang Tuah.

Panorama kota Palembang dari lantai 11 Hotel Aston. Akan kuingat pemandangan ini sampai bila-bila. 

Beberapa pengajaran yang saya perolehi daripada permusafiran ke Palembang ini:

1. Walaupun hidup kita sukar, jangan sama sekali mengemis. Inilah semangat yang paling saya pelajari daripada warga Palembang, yang mesra dan ringan tulang. 

Palembang dipenuhi dengan rawak / paya. Justeru, mungkin sukar di zaman moden untuk menjadikan kawasan ini sebagai kawasan komersial. 
2. Bermusafir, akan menyebabkan kita lebih mengenali budi baik sahabat-sahabat di sekitar kita. Alhamdulillah sepanjang permusafiran ini, saya dikelilingi sahabat-sahabat yang baik sekali. 

Dato' Yunus, Pengarah JUPEM Pahang bersama Us Amiruldin. Kedua-dua mereka walaupun senior saya dan bergelar, tetapi amat merendah diri. Apatah lagi yang sedang beraksi mengambil foto di lantai itu, Ustaz Ghazali. Memang menceriakan.
Ini pula saudara Ramzi, geng sahabat Falak Online. Sepatutnya saya menyertai team mereka. Tetapi atas komitmen tanggungjawab dengan negeri Pahang, saya berjumpa mereka sekali sekala sahaja. 
3. Permusafiran ini juga mengajar kepada kita bahawa Allah adalah lebih berkuasa. Kita dididik untuk redha dan berqana'ah, bahawa apa yang Allah taqdirkan adalah yang terbaik untuk kita, dan perlu kita memandang ianya sebagai terbaik. Daripada langit berawan yang sebenarnya sudah lama diramalkan, sehinggalah kepada perkara luar jangka lain. Banyakkan bersabar dalam bermusafir. 

Ini pun termasuk dalam perkara luar jangka juga .... :P 

4. Semasa berada di negara orang, hayatilah cara hidup dan sosial mereka, supaya lahir perasaan hormat dan terbuka minda kita melihat perbezaan. 

Ruang check in dalam Airport Palembang.



Saya tidak sempat membeli koran ini. Hanya sempat merakam gambar sahaja. 
Semua koran mengambil GMT sebagai berita utama.
5. Dunia sekarang penuh dengan gajet. Manfaatkan ia dengan berhikmah. Tetapi jangan lupa, bawa imej terbaik ialah yang dilihat dengan lensa mata kita sendiri. Merantaulah, dan luaskan penglihatan kita.

Dalam perjalanan balik pun, sempat lagi ambik time lapse take off dan landing :P 


In flight meal yang saya tempah awal. Alhamdulillah, dapat cup cakes 2 biji. Kebetulan hari jadi isteri tercinta ialah pada esok hari.  
Menikmati satey dan nasi goreng kampung ribuan kaki di udara

Akhirnya, saya dihantar kembali ke tempat saya diambil. 

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MUIP dan Jabatan Mufti Negeri Pahang atas penghormatan yang diberikan sepanjang rombongan ilmiah ini. Mudah-mudahan, semua ahli rombongan meningkat taqwa mereka setelah melihat kekuasaan Allah menerusi gerhana matahari penuh. Pohon maaf atas salah dah silap. InshaAllah, kita bertemu dalam program yang lain.


Moga bertemu lagi wahai kota Palembang yang bersejarah.

Menjejak Gerhana di Palembang :: Shopping dan wisata terakhir di Palembang (Bahagian 8)

Alhamdulillah selepas selesai cerapan dan solat kusuf, kami pulang untuk berkemas keluar dari Wisma Atlet. Pada waktu inilah kami dapat bil bayaran RM650, seperti yang diceritakan dalam bahagian yang lalu.

Sebelum pulang ke Kota Palembang, kami dibawa bersiar di sekitar Wisma Atlet terlebih dahulu.

Tiba-tiba banyak pula saya berselfie. Latar belakang Stadium Gelora Sriwijaya. Ini sebahagian daripada Wisma Atlet. Kesemua acara sukan bertaraf antarabangsa boleh dianjurkan di dalam kawasan ini. 

Pada peringkat awal idea pembinaan Wisma Atlet, ramai yang tidak yakin akan kejayaannya. Tetapi, mereka berjaya membuktikan di mana ada kemahuan, di situ ada seribu jalan. Malangnya, dikhabarkan ada beberapa orang pengasas Wisma Atlet yang ditahan polis kerana korupsi.  
Ini Bapa Ruda, pengurus agensi pelancongan kami di Palembang. Baik hati orangnya. Terima kasih atas budi baik yang diberikan sepanjang melayan kami di Palembang. 

Setelah checkout dari Wisma Atlet, kami menyeberangi Jambatan Ampera sekali lagi. Kali ini, dengan satu misi, iaitu shopping. 

Ketika saya menjalankan kajian, berwisata dan berkhutbah di Palembang, alhamdulillah artikel saya diterbitkan di dalam Berita Harian. 

Destinasi pertama: shopping tekstil. Bila turun bas, pekerja kedai ini akan menampal sticker khas di lengan kami. 

Palembang terkenal dengan songket dan tenunannya. Tanjak Palembang itu, dijual daripada harga semurah IDR50,000 sahaja. Saiz boleh diubah. Tema songket juga dijadikan cenderahati lain. Saya beli satu tanjak Palembang sebagai kenang-kenangan, dengan harapan agar tanjak Getam Budur dan tanjak Tekur Tukang Besi ku di Malaysia tidak berkecil hati, bahkan bergembira dapat sahabat baru. 

Beg tangan juga bermotifkan kain songket. 

Di belakang kedai ini, ada satu galeri yang menunjukkan proses menenun songket. Ada 4 orang gadis Palembang yang fokus melakukan kerja mereka, tidak menghiraukan telah pengunjung yang mengambil gambar dan mengusik mereka. Orang Palembang persis orang Malaysia sahaja susuk dan paras rupa mereka. 


Us Rahman, orang kuat MUIP, sedang menjalankan tugas sebagai seorang suami mithali. Isteri di tanah air tidak dilupakan. 

Saya memang tiada kemahiran dan pengetahuan seni tekstil orang perempuan. Mujurlah ramai pewisata wanita yang membantu saya memilih kain untuk emak, isteri dan anak-anak. Harga di sini sedikit tinggi berbanding kedai lain di Palembang, tetapi masih murah berbanding di Malaysia. Tetapi apa salahnya kita sokong bisnes mereka kan? Kalau nak beli dengan harga yang murah, bolehlah berkunjung ke Ramayana. 

Setelah membayar, dalam perjalanan keluar, kita akan melalui satu kafe. Segala-galanya gratis, percuma di sini. Daripada kopi, air kotak jus, kuih dan seumpamanya. Syaratnya, sticker di lengan masih ada. Perkhidmatan yang terbaik!

Antara makanan yang dijamu secara gratis. 

Antara kain yang saya beli untuk mak, isteri dan anak-anak. Terima kasih Datin dan Ustaz Sheikh atas panduan memilih yang dikongsikan. 

Selepas shopping di kedai tersebut, kami dibawa makan tengahari di MusiMania. Kedai ala hipster ini menawarkan konsep hidangan ala masakan Padang juga rasanya.  T-shirt yang dijual di tingkat bawah kedai ini amat berkualiti dan harganya berpatutan. 

Selepas makan, kami solat di masjid di hadapan Musi Mania. Saya terlupa nama masjid ini, tetapi apabila saya masuk, ada seorang petugas yang akan menawar diri untuk menyimpan kasut saya. Demikianlah gigihnya orang Palembang bekerja. Saya hargai.

Persekitaran dalam masjid di Palembang sedikit berbeza dengan di Malaysia. Khasnya bagi wanita, mungkin akan sedikit berasa kekok. Ada beberapa musolla kecil yang tiada tempat wudu' khas untuk wanita. Di masjid ini, diasingkan. Kemudian tirai juga tiada. Mungkin kekok bagi Muslimah Malaysia menukar tudung dan seumpamanya, tetapi tidak bagi warga tempatan. Ruang solat juga sedikit terbuka seperti gambar ini. Di dalam ruang solat ini juga, saya saksikan pegawai masjidnya merokok. Satu kebiasaan di Indonesia. 

Selepas solat, kami dibawa membeli belah di Ramayana. Terus terang, saya tidak tahu untuk beli apa. Warga Palembang seakan-akan melepaskan peluang ramai pelancong sempena gerhana matahari dengan tidak menjual cenderahati seperti tshirt dan key chain. Fridge magnet pun tidak dijual langsung di sini. Akhirnya, ke kedai kerepek jualah duit rupiahku pergi...

Ini antara madu asli Pulau Bangka. Tapi kata ibu Ninik dan ibu Inda, kalau nak tau madu itu asli, sila bawa ke rumah di Malaysia. Sekiranya ada pinggan terbang, maka sah itu adalah madu asli. 

Selepas membeli kerepek, kami dibawa makan malam di Rumah Makan Beringin. Restoran ini terkenal dengan pempek. Di dalam gambar ini, ialah Tekwan, mirip sup ikan dengan bebola udang dan juga ikan. Sedap, tetapi tidak boleh dimakan setiap hari mengikut selera saya. 

Ini antara pempek yang dibuat segar di tingkat bawah kedai.
Timelapse pekerja Beringin membuat pempek

Timelapse keadaan trafik waktu tidak macet dari lantai 2 Beringin


Alhamdulillah sekitar jam 8 malam, kami pulang ke hotel. Saya perlu berkemas kerana akan kembali ke Malaysia esok hari. Sementara Dr Hasan pula akan pulang pada hari Jumaat.

Tiadalah aktiviti yang paling malas saya buat dalam mana-mana rombongan, melainkan berkemas untuk pulang.

Nantikan sambungan dalam Bahagian 9 (terakhir).

Menjejak Gerhana di Palembang :: Gerhana Matahari Penuh Sebagai Ayatullah al-Manzurah (Bahagian 7)

Hari Ketiga
9 Mac 2016

Sambungan Bahagian 6

Saya telah bersiap untuk bergerak ke lokasi cerapan sekitar jam 4 pagi. Alhamdulillah bersama-sama dengan saya, Ustaz Rosli, Ustaz Sheikh dan Ustaz Zali. Bila keluar bilik, saya dapati suasana sunyi, kerana kumpulan pencerap lain sudah bertolak sejak jam 3 lebih lagi. 

Di Palembang, waktu yang perlu diberikan perhatian ialah:

Subuh: 4:57 pagi
Matahari terbit: 6:09 pagi
Sentuhan pertama gerhana: 6:20 pagi
Waktu maksimum gerhana: 7:21 pagi (bergelap)
Tamat gerhana: 8:21 pagi.

Sejurus selepas kami bertiga sampai di lokasi cerapan, saya melihat semua kawasan mencerap telah penuh. Apabila pegawai wisma atlet melihat saya baru sampai, alhamdulillah mereka meminta adik-adik USIM yang mendapat tapak yang agak banyak, supaya memberikan sedikit kawasan kepada kami. Terima kasih team USIM. Cuma sedikit terkilan, kerana hasrat kami untuk duduk berhampiran dengan team Falak Online dan UNISZA tidak kesampaian. 

Saya memasang tiga tripod peribadi saya. Satu untuk Nikon D7000 70-300 mm, Olympus EM5 12-35mm, dan iSaw Extreme untuk timelapse. Selepas solat, melihat keadaan langit, kami pasrah dan redha, bahawa inilah yang terbaik Allah berikan untuk kami. Keadaan langit memang berawan, tebal.


Keadaan langit selepas waktu subuh. Allah mengajar kami erti redha dan qana'ah.

Kami dididik supaya mengerti, bahawa awan juga satu keindahan ciptaan Allah. Ini merupakan gambar-gambar awal, tanpa solar filter, penampakan matahari di celah-celah awan tebal. 

Ini pula merupakan gambar awal yang dapat dirakam menggunakan solar filter, beberapa minit selepas sentuhan pertama / bermulanya gerhana matahari. 

Matahari semakin ditutup oleh bulan...

Semakin ditutup.... 

Semakin mengecil....

.... dan bertambah mengecil. Yang terang tu bukan bulan ye, tetapi sebaliknya matahari. 

Macam anak bulan je

Ini merupakan Baily's Bead. Membuktikan bahawa permukaan bulan itu berkawah dan berbukit. Beberapa detik selepas ini, bumi bergelap, seperti selepas Maghrib, selamat 1 minit 47 saat. 


Lihatlah dalam timelapse di atas, pergerakan bayang-bayang bulan yang merupakan sebab mengapa kawasan bumi tertentu menjadi gelap semasa fenomena gerhana bulan.

Pada waktu inilah, bagi mereka yang punya rohani yang jernih, akan terasa kebesaran Allah. Kedengaran tangisan hiba pencerap-pencerap Muslim, mudah-mudahan meningkatkan taqwa mereka di sisi Allah sebagai bekalan terbaik dibawa apabila pulang ke tanahair, lebih-lebih lagi bekalan terbaik di akhirat nanti.

Beberapa ketika sebelum totaliti. Lihat kecerahan sekitar. 

Di saat totaliti. Bergelap. Burung-burung kelihatan terbang kekeliruan. Daun semalu di danau pula tertutup. 


Detik-detik awal selepas bulan mula keluar... 
Dan semakin keluar...

Dan semakin keluar....
Selepas gerhana matahari maksimum tamat, kami bersedia untuk melaksanakan sunnah nabi semasa berlakunya gerhana, iaitu solat kusuf dan khutbah.

PM Dr Hassan melaungkan al-Solat al-Jami'ah sebagai tanda pematuhan kami kepada sunnah.

Sahibul Samahah Dato' Mufti Kerajaan Negeri Pahang mengimami solat.

Dan seterusnya beliau meminta saya untuk berkhutbah. Kebetulan teks khutbah rasmi negeri Pahang dilakar oleh saya.

Team MUIP dan Jabatan Mufti Pahang

Team Alumni KISAS. Sahabat saya Sunardi. Memang sengaja wefie dengan latar belakang dua orang otai astronomi yang sempoi dan pemurah ilmu, Dr Mahamarowi dan Shahrin Falak Online. 

Team Gang Falak Online

Team Malaysia. Ada juga yang tidak sempat bergambar. 
Sedih pula menyiapkan entri ini. Inshaallah akan disambung lagi dalam Bahagian 8.