Tuesday, 10 November 2015

Air Terjun Pandan

Bagi pelancong yang menaiki kapal terbang dan mendarat di Lapangan Terbang Kuantan, mereka akan nampak betapa keruhnya air sungai-sungai di Kuantan. Apatah lagi dengan aktiviti perlombongan yang sukar dikawal di banyak daerah sekitar, pencemaran sungai memang sesuatu yang amat menyedihkan.

Tapi alhamdulillah, masih ada lagi sungai yang jernih di sini, sesuai untuk dijadikan tempat untuk bersantai bersama keluarga.

Air Terjun Pandan terletak berhampiran dengan Felda Panching. Terletak lebih kurang 25 KM atau lebih kurang setengah jam dari bandar Kuantan. Pengunjung boleh pergi ke sini sama ada daripada Jalan Gambang (masuk ke simpang ke Panching berhampiran Kem TUDM) atau pun menyusuri Jalan Sungai Lembing (berhampiran exit LPT Kuantan)

Koordinat: 3.790674, 103.145268

Sungai adalah bayangan syurga. Dengan sebab itulah al-Quran akan turut menyebut al-anhar (sungai) apabila memvisualkan bayangan syurga kepada sang pendambanya. Deruan air sungai merupakan terapi alam kurniaan Allah bagi melepaskan tekanan yang tersemat di dalam dada. 

Justeru, nikmat Allah apa lagi yang kita dustakan?  Apatah lagi sekiranya Allah berikan cuaca yang cantik, seperti pada hari saya dan keluarga berwisata di Air Terjun Pandan ini. 


Perjalanan dari arah Jalan Sg Lembing akan menempuhi kebun kelapa sawit ini..

Sehinggalah terjumpa simpang dengan papan tanda ini (ke kanan andai dari Jalan Sg Lembing, ke kiri andai dari Jalan Gambang)

Macam-macam versi nama untuk air terjun Sungai Pandan ni. Ada yang panggil Hutan Lipur, sementara orang tempatan lebih mengenali dengan Air Terjun / Sungai Panching sahaja...

Teruskan perjalanan anda sehingga nampak papan tanda ini 
Bermulalah jalan yang rosak...

Sehingga boleh lalu di tengah-tengah kuari

Alhamdulillah cuaca yang baik di awal pagi. Permulaan yang baik. Tetapi pemandangan di kuari ini benar-benar mencacatkan keindahan hutan...

Setelah beberapa ketika, bila nampak sign ini, bolehlah senyum kembali. Nak dekat dah 
Akan lalu jambatan yang merentasi hilir sungai air terjun. Ada juga yang picnic di sini, khasnya keluarga dengan bayi, atau yang ingin buat bbq tanpa perlu merentasi batu-batu sungai yang licin. 

Setelah membayar RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk 7-12 tahun, sampai lah kita ke air terjun ini. Ada dua pilihan, sama ada ingin parking di dalam, betul-betul berhampiran dengan sungai dan juga fasiliti seperti tandas, surau dan gerai dengan caj RM3. Atau boleh ke kanan, parking percuma, jauh sikit untuk menapak ke air terjun. 

Sentiasa berhati-hati, kerana risiko jangkitan ada di mana-mana.

Daripada tempat parking, boleh terus naik tangga yang disediakan. Agak curam juga. Saya sekeluarga dengan 6 orang anak-anak kecil, alhamdulillah selamat sampai selepas macam-macam drama. Ada yang jenis 'cengey', ada yang jenis manja, ada yang takut dengan semut beratur ramai-ramai hehe. Biarlah mereka membiasakan diri dengan alam. Bila nampak jambatan ini, maka ada pilihan sama ada nak melintas, atau stay sahaja di bahagian kiri sungai. Dari jambatan tergantung ini, boleh nampak air terjun yang cantik itu...


Subhanallah.... memang cantik  


Latihlah anak-anak yang hidup dalam bandar supaya menghargai alam sekitar ciptaan Allah.  
Macam-macam aktitiviti boleh dibuat di sini, ada yang photo shooting gaya model... 

Anak saya ni memang mesra kamera
Ada juga yang buat BBQ, berbau satu hutan :) .  
Ada juga yang membuat aktiviti 'batu berdiri' secara berjemaah, satu keluarga. Supaya pengunjung akan datang, akan rasa teruja dengan misteri nusantara agaknya...

Ada yang memanjat air terjun.. (ada aku k?)

Apa sahaja gelagat manusia di sini, air terjun ini memang cantik dan menenangkan. Terima kasih Allah atas kurniaan terapi alam-Mu. Siapa yang ada zoom lens,  bolehlah ambil gambar closed up seperti ini. 

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam (Fatir:27)

Yang malas nak mendaki ke atas, bolehlah sekadar di bawah sahaja. Tetapi kualiti airnya, jauh berbezalah. Dalam gambar ni, rombongan adik-adik daripada sebuah Ma'had Tahfiz berdekatan. 

Bagi yang nak menyeberang ke belah kanan sungai, ada dua cara. Yang pertama daki dulu tinggi-tinggi, sehingga nampak jambatan tergantung seperti dalam gambar sebelum ini. Atau pun lebih selesai, daripada area surau (seperti dalam gambar), menyeberang sungai melalui empangan/kunci air seperti di atas. Less thrill
Banyak tempat duduk awam di sekitar sungai, khasnya berhampiran dengan tandas. Tong sampah juga banyak disediakan. 

Gerai jualan dengan harga yang murah, tidak 'mark-up'. 

Tandas dan tempat mandi. Selesa Alhamdulillah. 
Secara keseluruhan, saya merasakan terdapat perbezaan yang ketara antara Air Terjun Pandan yang saya lawat 10 tahun lalu, dengan sekarang. Dahulu, tak salah saya masuk percuma. Sekarang, mereka mengenakan bayaran, bagi tujuan konservasi. Rabu ditutup, bagi tujuan penyelenggaraan. Pukul 6 petang, pengunjung diminta untuk beredar. Dengan langkah ini, saya merasakan terdapat peningkatan yang ketara, mesra pengunjung, serta yang lebih penting, bersih.

Tips:

1. Bertolak pagi, sebaiknya tiba seawal jam 9 pagi.
2. Ini bagi membolehkan anda mendapat tempat parking kereta yang selesa dan hampir dengan sungai.
3. Kawasan air terjun yang cantik di atas, berada pada bahagian barat sungai. Maknanya, ianya menghadap ke arah timur. Dengan datang pada waktu pagi, gambar-gambar yang diambil lebih cantik dengan natural sun light.
4. Bagi kaki fotografi, saya mencadangkan anda membawa water proof kamera seperti GoPro, atau kamera biasa dengan lens wide angle atau zoom lens. Bawa juga ND atau CPL filter untuk merakamkan gambar terbaik. Tripod jangan lupa dibawa sekiranya ingin bermain dengan shutter speed.
5. Sekiranya bergerak dari awal pagi, boleh singgah sarapan di gerai-gerai kawasan Felda Panching. Murah-murah. Boleh juga bawa bekal.
6. Cari spot untuk bentang tikar / buka khemah. Bagi keluarga yang ada anak-anak kecil, cukup di belah bawah sungai sahaja, ada empangan, kedalaman sekitar 3 kaki. Kalau berani, bolehlah mendaki, dan tempat paling sesuai untuk keluarga ialah di bawah jambatan tergantung. Di situ ada spot takungan air cetek, air terjun 'mini', serta batu besar untuk berkelah. Bagi yang dewasa, apa lagi, bentang tikar di tepi air terjunlah....

No comments:

Post a Comment