Tuesday, 29 November 2016

Cameron Highlands Part 1 :: Perjalanan Kuantan - Cameron :: Bee Farm

Antara impian isteri dan anak-anak saya ialah melancong ke Cameron Highlands. Kecuali saya dan Raed, semua mereka belum pernah sampai lagi ke sana.

Alhamdulillah, dengan berkat dan keizinan Allah, akhirnya sampai juga kami ke sana, pada minggu terakhir persekolahan bulan November 2016.

Ponteng sekolah? Dengan makluman dan izin guru-guru ya. Kalau duduk sekolah pun, bukannya ada kelas dan aktiviti sangat. Pergi melancong pun, salah satu proses pembelajaran juga kan.

Sebelum pergi, kami telah membuat perancangan dan itinerari dengan teliti. Alhamdulillah, dengan merujuk travelog sahabat-sahabat (terutamanya ini), serta menjenguk FB Cameron Highlands Group, perancangan dapat dibuat dengan baik dan teliti.

TIPS PERJALANAN KUANTAN KE CAMERON HIGHLAND MELALUI RAUB & FELDA SG KOYAN

Kami bergerak dari Kuantan tepat sekitar jam 9:30 pagi. Sebelum itu, agak cuak juga apabila saya dapati tayar depan kereta saya kurang angin. Tayar spare pula tiada. Saya isi angin, dan tawakkal sahajalah.

Dalam banyak-banyak jalan masuk ke Cameron Highlands, saya merasakan perjalanan melalui Bentong-Raub-Felda Sg Koyan-Ringlet adalah paling selesa. Bahkan saya mencadangkan sekiranya ada dari KL, mungkin agak berbaloi sekiranya melalui jalan ini, berbanding Jalan Tapah. Ini kerana jalannya agak luas.

Cuma jalan dari Felda Sg Koyan ke Ringlet agak lengang. Sepanjang perjalanan, akan banyak berjumpa dengan orang asli dengan motosikal mereka, kadang-kadang ditemani anjing, mungkin sedang mencari rezeki. Elok juga JKR menyediakan jalan ini, memudahkan orang-orang asli tempatan.

Jalan agak luas, tidak sempit. Kurang bengkang bengkuk berbanding Jalan Tapah. InshaAllah, selesa. Daripada Felda Sg Koyan ke Ringlet, tiada perkampungan, line telefon kadang-kadang tiada, RnR hanya terletak di Pos Betau sahaja, berhampiran perkampungan orang asli. Sebaiknya, di Simpng Utama Sg Koyan, singgah dahulu ke stesyen minyak, isikan tangki, beli kudapan, dan buang air. Katanya di sebelah Petron, ada kedai roti canai kari kambing yang sedap.

Sebelum sampai Simpang Ringlet, kita akan melalui Empangan Hidroelektrik Ulu Jerai. Memandangkan kereta agak kurang, saya memberanikan diri berhenti di tepi jalan untuk mengambil beberapa keping gambar. Airnya cantik, berwarna turquoise. Ada beberapa tempat menarik, khususnya di dinding empangan itu, antara air dan tanah rendah, di mana gambar yang diambil pasti kelihatan menarik.

103 km ke Kuala Lipis

Cantik kan warnanya...

Empangan hidoelektrik Ulu Jerai. Masih dalam proses pembinaan. 

Tidak jauh dari situ, anda akan ternampak tanda selamat datang ke Cameron Highland. Rugi kalau tidak bergambar di landmark tersebut.

Welcoming sign sebelum Empangan

Selepas itu pula, kita akan melalui Lembah Bertam. Terdapat banyak ladang sayuran di sekitar kawasan ini.

Perjalanan ke Ringlet kami hanya mengambil masa 3 jam setengah sahaja. Selesa. Nikmati pemandangan hutan menghijau sepanjang perjalanan.

DESTINASI PERTAMA: BEE FARM HABU 

Destinasi pertama kami apabila sampai di Ringlet ialah singgah ke stesyen Petronas terlebih dahulu. Isi minyak penuh. Kos minyak dari Kuantan ke Ringlet ialah sekitar RM60 sahaja (MPV 2.0cc). Kalau anda tidak mahu isi penuh pun, jangan risau, kerana di Cameron Highlands ada beberapa stesyen minyak Shell dan Petronas, di Tanah Rata dan juga di Brinchang.

Selepas rehat dan rawat diri di Petronas Ringlet, kami memulakan perjalanan mendaki Cameron. Antara pemandangan pertama anda ialah Tasik atau mungkin juga Sungai Bertam atau Sungai Khazanah. Warna sungai atau tasik tersebut adalah terlalu keruh. Mungkin kesan pencemaran alam.

Antara resort lama yang agak cantik di hadapan tasik tersebut ialah The Lakehouse. Saya memberanikan diri naik ke atas, sempat mengambil video, sebelum dihalau oleh pekerja kerana bukan tetamu di situ. Bangunan hotel ini agak cantik dengan pengaruh daripada British.

Kemudian, berhampiran dengan Habu, akan ada simpang ke kanan, membawa anda ke beberapa tempat menarik seperti Bee Farm dan Ladang Teh Boh Habu. Saya tidak pergi ke Ladang Teh Boh ini, kerana keutamaan saya ialah Ladang Teh Boh di Sg Palas. Tetapi, saya singgah ke Bee Farm terlebih dahulu.

Lebah sebenar.

Koloni lebah kelulut.

Terdapat nurseri dan ladang strawberi di sini. Harga lebih murah di tempat lain.

Barang-barang cenderahati turut dijual di luar bangunan kedai ladang lebah ini. Saya tanya kepada auntie Cina tokey kedai, tak takut ke orang curi? Dia jawab, takpe, charity :)

Ada pelbagai jenis madu di sini. Saya membeli madu hutan. Inshaallah memang confirm original. 


Kalau memang nak tengok madu original depan mata, boleh beli sarang lebah ini. Sepeket kecil dalam sekitar RM25. Wax nya tiada apa-apa kelebihan, cuma di dalamnya memang ada banyak madu. Jangan tertipu kononnya semut tak suka madu asli. Hakikatnya, sarang yang saya beli ini, dipotong di depan mata, turut di'serang' oleh semua halus. 

Memandangkan hari kami pergi ke ladang lebah ini merupakan hari kerja, tiada pengunjung tempatan bersama-sama kami. Tetapi ada beberapa buah kereta, dibawa oleh orang Arab Yaman yang kelibatnya seperti duduk lama di Malaysia. Mereka memborong madu, dan juga sarang lebah, pada kuantiti yang banyak. Timbul pula su' zhon saya kepada mereka.... Allahua'lam.

InshaAllah bersambung dalam Part 2



Cameron Highlands Part 1 :: Perjalanan Kuantan - Bentong - Raub - Sg Koyan - Ringlet :: Bee Farm
Cameron Highlands Part 2 :: Home Stay - Tanah Rata - Kafe Bharat - Kedai Mamak Terbaik
Cameron Highlands Part 3 :: Lavender Garden
Cameron Highlands Part 4 :: Boh Tea Centre Sungei Palas
Cameron Highlands Part 5 :: Cactus Park : Time Tunnel Gallery : Dobi Layan Diri
Cameron Highlands Part 6 :: Masjid Abu Bakar Tanah Rate : Rose Centre
Cameron Highlands Part 7 :: Taman Agro Teknologi Mardi: Kafe Abang Strawberi
Cameron Highlands Part 8 :: Menaiki Buggy ke Cameron Valley

7 comments:

  1. Saya sudah banyak kali ke Cameron tapi tak pernah singgah di Bee Farm ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh juga menyinggah sekejap. tidak jauh dari jalan utama.

      Delete
  2. kalau dari kl mane lagi dekat lalu pahang ke lalu tapah?

    ReplyDelete
  3. Salam. Tq atas info. Saya dari gombak nak ikut jln Bentong awal pagi sbb takut jem Dan sesak di tapah .

    ReplyDelete
  4. tq for the sharing...kena ikut laluan ni nanti...sgt teruja

    ReplyDelete
  5. Jalan ke CH ikut sungai koyan mmg best

    ReplyDelete
  6. TerBaik tuan...boleh kami buat rujukan

    ReplyDelete