Tuesday, 29 November 2016

Cameron Highlands Part 2 :: Kafe Bharat :: Home Stay :: Kedai Mamak Terbaik

Selepas hampir setengah jam berada di Bee Farm, kami pun bergerak ke luar. Oh ye, di setiap destinasi, biasanya mereka menyediakan tandas awam. Bagi yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil, eloklah minta mereka buang air terlebih dahulu.

Terdapat ladang teh Boh pada jalan yang sama, tetapi kami tidak ke sana dulu.

Destinasi seterusnya sebelum check in, ialah Ladang Teh Bharat. Jenama teh mereka ialah Cameron Valley Tea. Memandangkan ini merupakan destinasi ladang teh pertama kami, dan pengunjung pun tak ramai, kami amat-amat teruja. Cuma, langit yang pada awalnya cantik dan panas, tiba-tiba mendung, dan hujan. Kami hanya sekadar mengambil pemandangan di kafe. Kami tempah air teh perisa strawberi untuk 4 orang dengan harga sekitar RM17. Hehe, itulah realitinya kalau makan di kafe. Dinasihatkan berhati-hati, kerana banyak lagi pilihan yang mungkin lebih menjimatkan. Yang pastinya, belilah teh uncang di kedainya, dan bancuh sendiri di hotel atau homestay. Jimat beribu kali ganda.

LADANG TEH CAMERON HIGHLANDS TERCANTIK

Sepengetahuan saya, Bharat mempunyai 3 perhentian ladang teh di Cameron Highlands. Pertamanya di sini, berhampiran Habu. Keduanya, sekitar 1 km daripada yang pertama ini. Ketiga, terletak berhampiran Kuala Terla, jalan menuju ke Simpang Pulai, ke bawah sana.

Secara peribadi, dalam banyak-banyak ladang teh di Cameron Highlands, di sinilah yang menawarkan pemadangan yang paling cantik. Dari kafe, anda dapat melihat saujana mata memandang, ladang-ladang teh yang dimiliki oleh keluarga Bharat yang datang dari India.

Inilah pemandangan dari atas kafe Bharat Cameron Valley. 

Satu sahaja kekurangan di sini, iaitu tempat parking yang agak terhad. Saya tidak boleh membayangkan bagaimana keadaannya semasa cuti sekolah atau pada hujung minggu.

Untuk masuk ke dalam ladang teh berkenaan (di sekitar kawasan kafe adalah percuma), anda perlu membayar RM2 bagi dewasa. Kanak-kanak, percuma. Jalan ke lembah sehingga sampai ke aliran sungai dan air terjun mini. Jalan agak licin dan berlecak terutama semasa musim hujan, justeru digalakkan memakai kasut. Sekiranya ada rezeki lebih sikit, ambillah pakej menaiki kenderaan buggy. Satu keluarga saya boleh muat. Dewasa RM10, kanak-kanak RM5. Buggy car akan membawa anda sampai ke lembah ladang teh yang bagi saya, paling cantik di Cameron Highlands ini.

Kami tidak duduk lama di sini. Cadangannya, semasa hari balik nanti, kalau cuaca cantik, kami akan singgah lagi ke sini.

CHECK IN HOMESTAY DI TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS

Memandangkan hujan, saya dan keluarga hanya sekadar minum teh sahaja. Kemudian, saya menghubungi pengurus homestay untuk check in. Homestay pilihan kami ialah di NFA Muslim Homestay, di sebuah apartment 3 bilik berlif dan bersekuriti, baru dibina tak sampai setahun, di Tanah Rata.

Berdasarkan tinjauan, lokasi yang paling strategik bagi saya untuk tinggal ialah di Tanah Rata. Ini kerana lokasinya yang kurang sibuk, ada masjid, pekan kecil, kedai makan yang dibuka seawal subuh. Selain itu, terminal bas juga terletak di sini.

Ada satu destinasi pilihan keluarga Melayu, iaitu di Kampung Taman Sedia. Kampung ini terletak antara Tanah Rata dan Brincang. Cantik juga di sini, kerana ianya kampung tradisi. Cuma agak sesak, dan dipenuhi dengan ladang strawberi milik orang Melayu. Best juga duduk di sini.

Ada juga yang suka duduk di pusat Cameron Highland, iaitu di Brinchang. Cuma di sini, agak sibuk dan padat. Terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah, sekiranya anda datang berkeluarga dan berkenderaan, elakkan tinggal di Brinchang, kerana agak sibuk sehingga ke malam. Sebab utamanya ialah kerana pasar malam dan juga sikap pemandu dari luar yang mementingkan diri apabila memandu dan parking.

Apabila sampai di area apartment kami, pengurus masih belum sampai. Kami disambut dulu oleh pengawal sekuriti apartment tersebut, seorang berbangsa India asal Cameron Highland, bernama Uncle Raju. Allahu rabbi, amat baik orangnya. Apabila kami sampai, dia bersembang-sembang dengan saya. Bagi macam-macam tips. Melayan dan bermain dengan anak-anak saya. Kemudian dia pergi ke lereng bukit berhampiran, menunjukkan pokok blackberry, dan memetik beberapa biji untuk kami. Baiknya dia.

Tak lama lepas tu, pengurus homestay pun datang. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar, walaupun pada awalnya agak kalut kerana tak pandai nak membuka pintu. Oleh kerana apartment 6 tingkat ini adalah baru lagi, memang best lah kan. Cuma agak sunyi. Yang benar-benar duduk di sini hanyalah dalam 4 unit sahaja. Yang lain, semuanya dibuat homestay.

Adakah saya recommend anda duduk di sini? Saya reserve, no komen. Kerana ada beberapa isu (nota: untuk unit ini sahaja, 1-9). Antaranya, pengurusnya tidak pandai maintain, jam dinding tidak berfungsi, ada beberapa sayap kelkatu di beberapa bahagian dalam apartment, barang-barang begitu basic, tuala tidak disediakan, toaster rosak dan tidak diganti, hot shower walaupun baru, tetapi pemegangnya rosak dan dibiarkan walaupun selepas complaint. Kipas pun ada satu sahaja. Tetapi mungkin tidak diperlukan sangat kerana cuaca di CH agak sejuk. Dapur juga very basic, diletak di bahagian luar, dan agak kurang bersih.

Tetapi adakah secara peribadi saya akan duduk di sini lagi? Mungkin ya. Kerana pemandangan balkoni yang cantik, nampak sunset di gunung, kedai mamak muslim yang best roti canai serta teh tarik ceylon (Fahmida), playground untuk anak-anak, dekat sangat dengan pekan Tanah Rata, ada 2 entrance ke area aparment ini, bangunan yang baru, tidak sibuk, ada sekuriti, dan macam-macam lagi kelebihan. Rice cooker disediakan, jadi kami memang dah packing siap-siap beras dari rumah. Memang menjimatkan. Beli sahaja lauk dari mana-mana kedai berhampiran. Saya berani recommend kedai mamak tersebut, kerana mukanya jernih, bagi salam, waktu operasi 7 pagi - 7 malam sahaja, dan ada jual daging lembu. Makanannya memang sedap!

Mr Raju and the apartment. We miss Mr Raju a lot. Orangnya baik, selalu bergurau dengan anak-anak saya. Beliau juga banyak bagi tips untuk berjalan sekitar CH. Gambar keluarga dan cucu beliau juga kerap ditunjuk kepada saya. 

Inilah apartment kami. Kami dapat view cantik, menghadap Tanah Rata dan gunung-gunung di CH. View belakang pula, saya rasa tak cantik, akan terhalang dengan lereng dan hutan. 

Inilah teh tarik Ceylon kedai Mamak Fahmida. Harga hanya RM1 sahaja !

Roti telur bawang. Kuah memang fresh dan sedap.

Senarai harga makanan di Fahmida. Berjalan kaki sahaja dari apartment. Harga biasanya lebih murah, contohnya roti canai hanya RM1 sahaja. 

Selepas solat jama' Zohor dan Asar, kami pun keluar untuk meninjau jalan di sekitar CH. Plan kami untuk dinner malam pertama ini ialah steambot. Ada beberapa dalam cadangan kami, antaranya Glory 78 dan De Bamboo. Jadi, kami tinjau-tinjau dulu.

Saya memandu kereta dalam hujan renyai-renyai, merentasi Kampung Taman Sedia. Ternampak Restoran Steambot De Bamboo. Nampak bersih dan cantik juga. Tapi belum singgah lagi. Kemudian saya memandu masuk ke setiap lorong di Kampung Taman Sedia. Banyak betul homestay dan ladang strawberi, serta kafe-kafe.

Perjalanan diteruskan lagi ke Brinchang, dan seterusnya ke Kea Farm. Memandangkan hari sudah lewat, sekitar jam 6, Kea Farm agak lengang. Saya masuk ke Kea Farm, parking di tepi jalan utama (di hadapan kedai yang ditutup awal). Kemudian kami berjalan kaki sahaja, masuk ke Kea Garden, percuma. Ada banyak bunga-bunga dipamerkan di Kea Garden. Puas juga kami bergambar.

Selepas Maghrib, barulah kami bergerak turun semula. Walaupun ternampak Restoran Glory78, tetapi kami memilih untuk makan di De Bamboo di Kampung Taman Sedia.

Saksikan time lapses makan di De Bamboo di Channel Youtube saya

Untungnya datang pada weekdays, pengunjung kurang, kedai lengang, menu tetap sama. 

Menunya menarik. Ada processed food, semua jenis sayur, seafood dan daging. Daging kambing dan daging itik pun ada, itulah pilihan saya. Aiskrim dan lolly pop untuk anak-anak pun ada. Dapurnya, ialah dapur api, jadi amat mudah dan cepat memasak, berbanding dapur arang. Memang berbaloi makan ketika perut lapar dan cuaca sejuk di sini. Anda akan diberikan dua pilihan, sama ada sup atau tomyam. Saya memilih kedua-duanya (kerana rakyat yang ramai). Tetapi tomyam agak terlalu pedas bukan sahaja untuk anak-anak, tetapi untuk saya. Rasanya, sedap!!!

Saya bagi 4.5 bintang untuk De Bamboo!!

Selepas 2 jam masak dan makan, akhirnya kami pun bergerak ke apartment dan berehat, menantikan hari yang baru keesokannya....

Bersambung di part 3



Cameron Highlands Part 1 :: Perjalanan Kuantan - Bentong - Raub - Sg Koyan - Ringlet :: Bee Farm
Cameron Highlands Part 2 :: Home Stay - Tanah Rata - Kafe Bharat - Kedai Mamak Terbaik
Cameron Highlands Part 3 :: Lavender Garden
Cameron Highlands Part 4 :: Boh Tea Centre Sungei Palas
Cameron Highlands Part 5 :: Cactus Park : Time Tunnel Gallery : Dobi Layan Diri
Cameron Highlands Part 6 :: Masjid Abu Bakar Tanah Rate : Rose Centre
Cameron Highlands Part 7 :: Taman Agro Teknologi Mardi: Kafe Abang Strawberi
Cameron Highlands Part 8 :: Menaiki Buggy ke Cameron Valley

No comments:

Post a Comment