INFO GASTRONOMI
Ya, bukan astronomi. Tapi gastronomi.
Bagi warga Kuantan, khasnya di Indera Mahkota, Restoran Lebak di IM5 mungkin menjadi suatu tempat ‘mesti makan’ bagi sebahagian daripada kita. Selain juadahnya yang pelbagai serta unik, persekitarannya juga mengundang kunjungan orang luar.
Tetapi setelah ditutup beberapa bulan lepas, ramai yang tercari-cari, di manakah Restoran Lebak sekarang?
Alhamdulillah, Lebak telah dibuka kembali, dengan nama Kafe Lebak di tempat baru. Dibuka sederet dengan lot kedai sebelah Seri Manja Boutique Hotel, mereka tambil dengan wajah baru.
Melihat dari luar, mengingatkan saya kepada Coliseum Cafe 1921 di Jalan TAR. Terdapat beberapa meja makan di bahagian luar kedai.
Di dalam kedai pula, suasanya begitu tenang sekali. Setelah seharian anda letih bekerja dengan hiruk pikuk di bandar dan pejabat, bertandang ke dalam kedai ini memberikan persekitaran yang rileks. Walaupun saiz kedai tidak sebesar dahulu, tetapi pencahayaan yang ambien, pendingin hawa yang menyegarkan, serta susun atur meja dan kerusi yang menarik, menawarkan sesuatu yang unik kepada pengunjung.
Mata saya tertumpu kepada barista dan mesin kopi. Ya, alhamdulillah ada. Mereka ada mesin kopi yang sendiri. Saya telah mencuba Americano dan juga Cappucino. Froth yang terhasil, baik dari kopi atau pun dari creamer, memang begitu membuat selera buat hantu kopi seperti saya.
Pekerja juga amat mesra. Pelayannya, yang juga merupakan antara pengurus kafe ini, akan membuat pesanan melalui iPad/tablet. Canggih bukan?
Menu yang ditawarkan juga agak menarik. Antara keunikannya pada waktu sarapan pagi, ialah Egyptian Breakfast. Ya, apa lagi kalau bukan kacang ful. Cuma, bukanlah terlalu Mesir sangat, sebaliknya telah diasimilasi dengan selera tempatan. Anda diberi pilihan sama ada roti ‘ish atau roti sandwic tebal bakar. Saya lebih suka roti sandwic. Dihidangkan bersama dengan dua sosej, telur goreng, salad dan bawang, rasanya memang terbaik. 5 bintang!
Untuk sarapan pagi, saya dan isteri juga telah cuba menu nasi lemak pandan ayam goreng. Nasi lemaknya yang berwarna sedikit kehijauan pandan memang sedap dan berlemak harum. Telur rebus hanya dapat suku sahaja, dihidang bersama dengan kacang goreng yang segar. Ayam goreng memang dirasai keenakannya. Sambal ikan bilis, menepati rasa, tidak terlalu pedas, masin atau manis. 4.5 bintang dari saya.
Secara keseluruhannya, walaupun baru dibuka seminggu, saya yakin kafe ini bakal menjadi antara tarikan utama gastronomist di Kuantan.
No comments:
Post a Comment